Sila klik link di bawah ini. Terima kasih :)

Dengarkanlah...

Thursday, July 5, 2012

Kajian Hadis Tentang Bulan Sya'ban Bhg.2

Di dalam bulan Sya’ban terdapat di dalamnya malam keutamaan/istimewa. Malam keutamaan tersebut telah dikhususkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w dan ummatnya yang dinamakan dengan Malam Nisfu Sya’ban (Malam Pertengahan Bulan Sya’ban)

Beberapa Hadis Tentang Nisfu Sya’ban

Terdapat banyak hadis yang berkaitan dengan Nisfu Sya’ban dan sebahagian besarnya adalah hadis dhaif (lemah) dan hadis maudhu’ (palsu).

Contoh hadis dhaif. Aisyah r.a melihat Nabi s.a.w sujud sangat lama sehingga beliau menyangka Nabi telah meninggal. Lalu Aisyah datang dan pegang jari Nabi. Aisyah menggerak-gerakkan jari Nabi dan Nabi pun gerakkan jarinya. Ternyata Nabi masih hidup. Setelah selasai solat, Aisyah pun bertanya “Ya Rasulullah, kenapa lama sangat sujud ni?” Nabi pun jawab “Apakah engkau tidak tahu bahawa mlm ini Malam Nisfu Sya’ban?”. Hadis ini adalah hadis dhaif dan sebahagian ulama’ tidak menggunakan hadis ini utk dijadikan dalil. Akan tetapi, untuk beramal dengannya (Fadhail ‘Amal) dibolehkan jika cukup 5 syarat.

Apa syaratnya? Hadis tersebut:
1. Tidak bercerita tentang akidah
2. Tidak bercerita tentang halal dan haram
3. Dhaifnya tidak sampai ke tahap Dhaif Jiddan (sangat lemah) atau perawinya kazzab (pendusta)
4. Terdapat hadis sahih lain yang menaungi hadis tersebut
5. Hanya digunakan utk fadhail ‘amal

Ada tak hadis sahih yang menjadi naungan untuk beramal menghidupkan malam Nisfu Sya’ban? Ada. Hadis yang disebutkan oleh Imam at-Thabrani dalam Kitab al-Mu’jam al-Kabir dan Ibnu Hibban diriwayatkan dari Muaz bin Jabal r.a (status hadis: Hasan Sahih)

يَطَّلِعُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلاَّ لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Allah s.w.t memperhatikan semua makhluk-Nya pada malam Nisfu Sya’ban. Dia mengampuni seluruh makhluk-Nya, kecuali orang yang musyrik dan orang yang bertengkar”.

(Hadis ini juga disebutkan dalam Musnad Ahmad yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Umar dan Musnad al-Bazzar yang diriwayatkan oleh ‘Auf bin Malik).

Makna (يطلع) “memperhatikan” dalam hadis diatas adalah Allah s.w.t melihat dgn saksama atau melihat dengan teliti.

Maksud hadis ini ialah Allah s.w.t memperhatikan dengan teliti seluruh makhluk-Nya pada malam pertengahan bulan Sya’ban, yang pada malam itu dia sedang bertahajjud, beristighfar, berzikir, membaca al-Quran, memohon ampun, bertaubat nasuha dan sebagainya maka setelah Allah melihat dengan sungguh-sungguh perbuatan hamba-Nya itu, Allah s.w.t mengampuni segala dosa dan kesalahan semua makhluk-Nya pada malam itu tapi ada 2 makhluk yang Allah tak ampun. Bukan kata semua yang bertahajjud, berqiamullail pada malam itu diampun Allah s.w.t. Memang betul kata Nabi bahawa Allah ampunkan tapi ada kata (إِلاَّ) pengecualian. Ada 2 makhluk yang tidak diampuni oleh Allah s.w.t iaitu yang pertama (مشرك) orang yang menyekutukan Allah, orang yang tauhid/aqidahnya rosak dan yang kedua (مشاحن) orang yang bertengkar atau bergaduh dan belum berbaik/berdamai. Oleh sebab itu, kalau masih ada diantara kita yang rasa-rasa tak puas hati, bermusuhan tu, send la sms minta maaf dari sekarang dan berdamailah. Supaya apa? Supaya pada malam Nisfu Sya’ban, ketika kita bertahajjud, berdoa memohon ampun kepada Allah s.w.t, Allah ampunkan dosa kita. Jangan sampai istighfar, permohonan ampun kita kepada Allah itu di‘pending’. Kerana apa? Kerana kita belum bermaaf-maafan sesama manusia.

Adapun hadis-hadis lain yang menyatakan kelebihan/keutamaan malam Nisfu Sya’ban itu sebahagian besarnya adalah hadis dhaif (lemah) bahkan ada hadis maudhu’ (palsu).

Hadis Maudhu’ berkaitan malam Nisfu Sya’ban banyak, antaranya:

مَنْ أَحْيَا اللَّيَالِيَ الْخَمْسَ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ: لَيْلَةُ التَّرْوِيَةِ، وَلَيْلَةُ عَرَفَةَ، وَلَيْلَةُ النَّحْرِ، وَلَيْلَةُ الْفِطْرِ، وَلَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ
Siapa yg menghidupkan 5 malam ini, maka dia wajib masuk syurga: iaitu malam tarwiyah (8 dzulhijjah), malam arafah (9 dzulhijjah), malam nahr (10 dzulhijjah), malam ‘eid fitri, malam nisfu sya’ban”.

Hadis ini dikeluarkan oleh Al-Ashbahany dari Mu’adz bin Jabal, dan dianggap sebagai hadis palsu oleh Shiekh Al-Albany dalam Dha’if At-Targhib, No. 667.

Hadis lain…

يَا عَلِيُّ مَنْ صَلَّى لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ مِئَةَ رَكْعَةٍ بِأَلْفِ قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ قَضَى اللهُ لَتهُ كَلَّ حَاجَةٍ طَلَبَهَا تِلْكَ اللَّيْلَةَ
Wahai ‘Ali, siapa yang solat pada malam nisfu Sya’ban seratus rakaat dengan (membaca) Qul Huwallahu Ahad seribu kali, maka Allah akan menunaikan seluruh hajat yang dia minta pada malam itu.

Ibnu Qayyim menyebut dalam Al-Manar Al-Munif (hlm.78) dan As-Syaukani dalam Al-Fawa’id Al-Majmu’ah (hlm. 50-51) sebagai hadis maudhu’ (palsu). Kata Syeikh Ibnu Baz rahimahullah, “Adapun hadis-hadis yang menjelaskan tentang solat pada malam nisfu Sya’ban seluruhnya adalah maudhu’ (palsu) sebagaimana yang diingatkan oleh banyak ulama.

Menurut Imam Nawawi (Imam Besar dalam Mazhab Syafi’e), solat Raghaib iaitu solat yang dilaksanakan pada hari khamis malam jumaat minggu pertama di bulan Rejab dan solat sunat 100 rakaat yang dilakukan pada malam nisfu Sya’ban adalah “bid’atani mungkaratani” (2 bid’ah yang mungkar).

Oleh sebab itu, kita kalau nak tahajjud, tahujjud macam biasa. Tak ada solat 100 rakaat yang disebut dengan solat malam nisfu Sya’ban. Solat seperti biasa dan berdoa secara umum kerana ingin mendapatkan ampunan dari Allah s.w.t kerana Allah mengampunkan dosa semua mahkluk-Nya melainkan orang yang mensyirikkan Allah dan orang yang bermusuhan/bergaduh.

Kedua-dua contoh hadis palsu diatas tidak boleh disebarkan, tidak boleh dijadikan dalil dan beramal dengannya. Siapa yang meriwayatkan/menyebarkan hadis palsu, kata Nabi s.a.w:

مَن كَذَّبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Siapa-siapa yang mendustakan aku dengan sengaja, maka siap-siapkanlah tempatnya di neraka”. (Diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Said al-Khudri).

Puasa Setelah Pertengahan Sya’ban

Hadis yang disebutkan dalam Sunan Abi Daud, hadis No.3237:

إِذَا انْتَصَفَ شَعْبَانُ فَلا تَصُومُوا
Apabila sudah masuk pertengahan bulan Sya’ban, maka jangan kamu berpuasa”.

Dalam riwayat lain:

إِذَا كَانَ النِّصْفُ مِنْ شَعْبَانَ فَلاَ صَوْمَ حَتَّى يَجِيْئَ رَمَضَانُ
Apabila masuk pertengahan dari bulan Sya’ban maka tidak ada lagi puasa sehingga datangnya bulan Ramadhan”.

Menurut Ibnu Rajab, Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, Ibnu Hajar, dan Al-‘Ainy bahawa hadis ini disahihkan oleh At-Tirmidzy, At-Thahawy, Ibnu Hibban, Al-Hakim, Ibnu ‘Abdil Barr, Ibnu Asakir dan Ibnu Hazm. Sebahagian ulama’ pula mengatakan bahawa hadis ini dhaif (lemah) jika dilihat pada perawinya.

Apa maksud hadis ini? Kenapa pula dilarang berpuasa sedangkan hadis sebelum ini telah diterangkan bahawa Nabi s.a.w banyak berpuasa di bulan Sya’ban? Mengapa bercanggah kedua-dua hadis ini?

Ulama’ hadis menjelaskan bahawa “jangan kamu berpuasa” itu maksudnya bagi orang yg sebelum itu memang tidak pernah puasa sunat. Bagi orang yang tak pernah puasa sunat, apabila sampai pertengahan bulan Sya’ban, maka dia dilarang berpuasa. Tapi, kalau dah biasa berpuasa, isnin dan khamis, maka teruskan. Hadis ini ditujukan bagi orang yg baru nak start puasa. Kalau dah puasa dari awal sama ada puasa isnin khamis atau puasa seperti Nabi Daud (puasa pada tarikh ganjil – 1,3,5,7…) apabila sampai pertengahan bulan Sya’ban, jangan berhenti pulak, teruskanlah. Kerana hadis ini adalah larangan bagi orang yang memulai puasa setelah pertengahan bulan Sya’ban.

Pendapat ini dikukuhkan pula sesuai dengan hadis yang terdapat dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. Apa kata Nabi s.a.w?

لا تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلا يَوْمَيْنِ إِلا رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ
Janganlah kamu mendahului bulan Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari, melainkan seseorang yang (terbiasa) berpuasa, maka berpuasalah.”

Ini menunjukkan bahawa berpuasa setelah pertengahan bulan Sya’aban itu dibolehkan bagi  orang yg dah biasa berpuasa sunat.

Memeriahkan Malam Nisfu Sya’ban

Meriahkan masjid dgn ibadah berjemaah atau meriahkan nisfu Sya’ban dirumah sendiri tidak ada dalilnya dan yang melakukan ini adalah dari generasi ketiga iaitu Tabi’in di Negeri Syam (sekarang Syria, Lubnan, Palestin dan Jordan). Diantaranya ialah Khalid bin Ma’dan, Luqman bin ‘Amir, Ishaq bin Rahawait (ahli hadis).

Bagaimana cara mereka meriahkan malam nisfu Sya’ban?
Mereka memakai pakaian yg terbaik. Jubah yg bagus. Pakai buhur (asap wangi-wangian). Pakai celak. Ramai-ramai pergi masjid. Tetapi Tabi’in di Hijaz, tak buat kerana tidak ada dalil. Hanya tabi’in di Negeri Syam sahaja.

Boleh ke kita ikut salah satu? Kata Shiekh ‘Athiyah Saqr (Mantan Mufti Lajnah Fatwa Al-Azhar) , “Selama masalah itu khilafiah (tidak sependapat), kita amalkan sesuai dgn yang kita yakin. Kalau ada yg melakukan lain dr kita, jgn pula memperkecilkan/mengejek mereka. Selebihnya mohon ampun kpd Allah”.

Selain solat sunat 100 rakaat dengan membaca surah al-Ikhlas sebanyak 1000 kali (dikenal dengan solat Alfiyah), terdapat juga beberapa perkara bid’ah lainnya termasuklah mengkhususkan puasa pada siang hari nisfu Sya’ban, membaca doa atau surah Yaasin khusus pada sebelah malamnya. Kemudian ada pula amalan yang pelik-pelik kita dengar. Antaranya, menziarahi kubur pada malam nisfu Sya’ban, menghidupkan api dan lilin disekelilingnya, mengkhususkan sedekah/membuat makanan dan diberi kepada faqir miskin dengan menganggap pahala sedekah itu sampai kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia dan banyak lagi.

Kesimpulan

Tujuan kita beramal pada bulan mulia ini adalah untuk mengisi usia yg baik, disampaikan oleh Allah di bulan yg baik, dgn amal yg terbaik supaya apabila kita menghadap Allah nanti bersama org-org yg baik dan ditempatkan oleh Allah dgn tempat yg terbaik iaitu Syurga. Ameen...

Bulan yg bercabang-cabang kebaikan/keberkatan telah datang kpd kita, tapi ibadah kita tetap sama tak bercabang, tak bertambah seperti bercabangnya keberkatan pada bulan Sya’ban. Tak sesuai keberkatan yg Allah anugerahkan dgn amalan orang yg memasuki bulan tersebut. Berapa byk Allah panjangkan usia kita untuk kita sampai pada bulan yg mulia ini tetapi kita tidak ambil peluang itu, kita sia-siakan sehingga kita tidak sempat beramal dgn amalan yg terbaik.

Nabi s.a.w berdoa:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبَ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ
Ya Allah, berkatilah untuk kami bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan

Sebab itu Nabi s.a.w mempersiapkan diri dengan banyak beramal di bulan Sya’ban untuk smpai ke bulan Ramadhan. Mula dari bulan Rejab, kemudian Sya’ban, seterusnya bulan Ramadhan. Kita sama-samalah perbanyakkan solat malam, berzikir, puasa sunat, bersedekah, infaq, menyantuni faqir miskin dan anak-anak yatim. InsyaAllah akan menjadi amalan yg baik di sisi Allah sehingga terinspirasi oleh orang lain utk turut sama beramal. Mudah-mudahan kita pun dpt bahagian pahala dari amal tersebut dan apa yg disampaikan itu dapat menjadi bekal kita di akhirat nanti. InsyaAllah, amin ya Rabbal ‘Alamin. Wallahu a’lam...

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
;