Di dalam bulan Sya’ban
terdapat di dalamnya malam keutamaan/istimewa. Malam keutamaan tersebut telah
dikhususkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w dan ummatnya yang dinamakan
dengan Malam Nisfu Sya’ban (Malam Pertengahan Bulan Sya’ban)
Beberapa Hadis Tentang
Nisfu Sya’ban
Terdapat banyak hadis
yang berkaitan dengan Nisfu Sya’ban dan sebahagian besarnya adalah hadis dhaif
(lemah) dan hadis maudhu’ (palsu).
Contoh hadis dhaif.
Aisyah r.a melihat Nabi s.a.w sujud sangat lama sehingga beliau menyangka Nabi
telah meninggal. Lalu Aisyah datang dan pegang jari Nabi. Aisyah
menggerak-gerakkan jari Nabi dan Nabi pun gerakkan jarinya. Ternyata Nabi masih
hidup. Setelah selasai solat, Aisyah pun bertanya “Ya Rasulullah, kenapa
lama sangat sujud ni?” Nabi pun jawab “Apakah engkau tidak tahu bahawa
mlm ini Malam Nisfu Sya’ban?”. Hadis ini adalah hadis dhaif dan sebahagian
ulama’ tidak menggunakan hadis ini utk dijadikan dalil. Akan tetapi, untuk
beramal dengannya (Fadhail ‘Amal) dibolehkan jika cukup 5 syarat.
Apa syaratnya? Hadis
tersebut:
1. Tidak bercerita
tentang akidah
2. Tidak bercerita
tentang halal dan haram
3. Dhaifnya tidak
sampai ke tahap Dhaif Jiddan (sangat lemah) atau perawinya kazzab (pendusta)
4. Terdapat hadis
sahih lain yang menaungi hadis tersebut
5. Hanya digunakan utk
fadhail ‘amal
Ada tak hadis sahih
yang menjadi naungan untuk beramal menghidupkan malam Nisfu Sya’ban? Ada. Hadis
yang disebutkan oleh Imam at-Thabrani dalam Kitab al-Mu’jam al-Kabir dan Ibnu
Hibban diriwayatkan dari Muaz bin Jabal r.a (status hadis: Hasan Sahih)
يَطَّلِعُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى خَلْقِهِ
لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلاَّ لِمُشْرِكٍ
أَوْ مُشَاحِنٍ
“Allah s.w.t memperhatikan semua makhluk-Nya pada malam Nisfu Sya’ban. Dia mengampuni seluruh makhluk-Nya, kecuali orang yang musyrik dan orang yang bertengkar”.
“Allah s.w.t memperhatikan semua makhluk-Nya pada malam Nisfu Sya’ban. Dia mengampuni seluruh makhluk-Nya, kecuali orang yang musyrik dan orang yang bertengkar”.
(Hadis ini juga
disebutkan dalam Musnad Ahmad yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Umar dan
Musnad al-Bazzar yang diriwayatkan oleh ‘Auf bin Malik).
Makna (يطلع)
“memperhatikan” dalam hadis diatas adalah Allah s.w.t melihat dgn saksama atau
melihat dengan teliti.
Maksud hadis ini ialah
Allah s.w.t memperhatikan dengan teliti seluruh makhluk-Nya pada malam
pertengahan bulan Sya’ban, yang pada malam itu dia sedang bertahajjud,
beristighfar, berzikir, membaca al-Quran, memohon ampun, bertaubat nasuha dan
sebagainya maka setelah Allah melihat dengan sungguh-sungguh perbuatan
hamba-Nya itu, Allah s.w.t mengampuni segala dosa dan kesalahan semua makhluk-Nya
pada malam itu tapi ada 2 makhluk yang Allah tak ampun. Bukan kata semua yang
bertahajjud, berqiamullail pada malam itu diampun Allah s.w.t. Memang betul
kata Nabi bahawa Allah ampunkan tapi ada kata (إِلاَّ) pengecualian. Ada 2 makhluk yang tidak
diampuni oleh Allah s.w.t iaitu yang pertama (مشرك) orang yang menyekutukan Allah, orang yang
tauhid/aqidahnya rosak dan yang kedua (مشاحن) orang yang bertengkar atau bergaduh dan
belum berbaik/berdamai. Oleh sebab itu, kalau masih ada diantara kita yang
rasa-rasa tak puas hati, bermusuhan tu, send la sms minta maaf dari sekarang
dan berdamailah. Supaya apa? Supaya pada malam Nisfu Sya’ban, ketika kita
bertahajjud, berdoa memohon ampun kepada Allah s.w.t, Allah ampunkan dosa kita.
Jangan sampai istighfar, permohonan ampun kita kepada Allah itu di‘pending’.
Kerana apa? Kerana kita belum bermaaf-maafan sesama manusia.
Adapun hadis-hadis
lain yang menyatakan kelebihan/keutamaan malam Nisfu Sya’ban itu sebahagian
besarnya adalah hadis dhaif (lemah) bahkan ada hadis maudhu’ (palsu).
Hadis Maudhu’
berkaitan malam Nisfu Sya’ban banyak, antaranya:
مَنْ أَحْيَا اللَّيَالِيَ الْخَمْسَ وَجَبَتْ لَهُ
الْجَنَّةُ: لَيْلَةُ التَّرْوِيَةِ، وَلَيْلَةُ عَرَفَةَ، وَلَيْلَةُ النَّحْرِ، وَلَيْلَةُ
الْفِطْرِ، وَلَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ
“Siapa
yg menghidupkan 5 malam ini, maka dia wajib masuk syurga: iaitu malam tarwiyah
(8 dzulhijjah), malam arafah (9 dzulhijjah), malam nahr (10 dzulhijjah), malam
‘eid fitri, malam nisfu sya’ban”.
Hadis ini dikeluarkan oleh
Al-Ashbahany dari Mu’adz bin Jabal, dan dianggap sebagai hadis palsu oleh
Shiekh Al-Albany dalam Dha’if At-Targhib, No. 667.
Hadis lain…
يَا عَلِيُّ مَنْ صَلَّى لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ
شَعْبَانَ مِئَةَ رَكْعَةٍ بِأَلْفِ قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ قَضَى اللهُ لَتهُ كَلَّ
حَاجَةٍ طَلَبَهَا تِلْكَ اللَّيْلَةَ
“Wahai
‘Ali, siapa yang solat pada malam nisfu Sya’ban seratus rakaat dengan (membaca)
Qul Huwallahu Ahad seribu kali, maka Allah akan menunaikan seluruh hajat yang
dia minta pada malam itu.”
Ibnu Qayyim menyebut
dalam Al-Manar Al-Munif (hlm.78) dan As-Syaukani dalam Al-Fawa’id Al-Majmu’ah
(hlm. 50-51) sebagai hadis maudhu’ (palsu). Kata Syeikh Ibnu Baz rahimahullah,
“Adapun hadis-hadis yang menjelaskan tentang solat pada malam nisfu Sya’ban
seluruhnya adalah maudhu’ (palsu) sebagaimana yang diingatkan oleh banyak
ulama.”
Menurut Imam Nawawi
(Imam Besar dalam Mazhab Syafi’e), solat Raghaib iaitu solat yang dilaksanakan
pada hari khamis malam jumaat minggu pertama di bulan Rejab dan solat sunat 100
rakaat yang dilakukan pada malam nisfu Sya’ban adalah “bid’atani
mungkaratani” (2 bid’ah yang mungkar).
Oleh sebab itu, kita
kalau nak tahajjud, tahujjud macam biasa. Tak ada solat 100 rakaat yang disebut
dengan solat malam nisfu Sya’ban. Solat seperti biasa dan berdoa secara umum
kerana ingin mendapatkan ampunan dari Allah s.w.t kerana Allah mengampunkan
dosa semua mahkluk-Nya melainkan orang yang mensyirikkan Allah dan orang yang
bermusuhan/bergaduh.
Kedua-dua contoh hadis
palsu diatas tidak boleh disebarkan, tidak boleh dijadikan dalil dan beramal
dengannya. Siapa yang meriwayatkan/menyebarkan hadis palsu, kata Nabi s.a.w:
مَن كَذَّبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا
فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
“Siapa-siapa
yang mendustakan aku dengan sengaja, maka siap-siapkanlah tempatnya di neraka”.
(Diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Said al-Khudri).
Puasa Setelah
Pertengahan Sya’ban
Hadis yang disebutkan
dalam Sunan Abi Daud, hadis No.3237:
إِذَا انْتَصَفَ شَعْبَانُ فَلا تَصُومُوا
“Apabila
sudah masuk pertengahan bulan Sya’ban, maka jangan kamu berpuasa”.
Dalam riwayat lain:
إِذَا كَانَ النِّصْفُ مِنْ شَعْبَانَ فَلاَ صَوْمَ
حَتَّى يَجِيْئَ رَمَضَانُ
“Apabila
masuk pertengahan dari bulan Sya’ban maka tidak ada lagi puasa sehingga
datangnya bulan Ramadhan”.
Menurut Ibnu Rajab,
Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, Ibnu Hajar, dan Al-‘Ainy bahawa hadis ini disahihkan
oleh At-Tirmidzy, At-Thahawy, Ibnu Hibban, Al-Hakim, Ibnu ‘Abdil Barr, Ibnu
Asakir dan Ibnu Hazm. Sebahagian ulama’ pula mengatakan bahawa hadis ini dhaif
(lemah) jika dilihat pada perawinya.
Apa maksud hadis ini?
Kenapa pula dilarang berpuasa sedangkan hadis sebelum ini telah diterangkan
bahawa Nabi s.a.w banyak berpuasa di bulan Sya’ban? Mengapa bercanggah
kedua-dua hadis ini?
Ulama’ hadis
menjelaskan bahawa “jangan kamu berpuasa” itu maksudnya bagi orang yg
sebelum itu memang tidak pernah puasa sunat. Bagi orang yang tak pernah puasa
sunat, apabila sampai pertengahan bulan Sya’ban, maka dia dilarang berpuasa.
Tapi, kalau dah biasa berpuasa, isnin dan khamis, maka teruskan. Hadis ini
ditujukan bagi orang yg baru nak start puasa. Kalau dah puasa dari awal
sama ada puasa isnin khamis atau puasa seperti Nabi Daud (puasa pada tarikh
ganjil – 1,3,5,7…) apabila sampai pertengahan bulan Sya’ban, jangan berhenti
pulak, teruskanlah. Kerana hadis ini adalah larangan bagi orang yang memulai
puasa setelah pertengahan bulan Sya’ban.
Pendapat ini
dikukuhkan pula sesuai dengan hadis yang terdapat dalam Sahih Bukhari dan Sahih
Muslim yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. Apa kata Nabi s.a.w?
لا تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلا يَوْمَيْنِ
إِلا رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ
“Janganlah
kamu mendahului bulan Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari, melainkan
seseorang yang (terbiasa) berpuasa, maka berpuasalah.”
Ini menunjukkan bahawa
berpuasa setelah pertengahan bulan Sya’aban itu dibolehkan bagi orang yg
dah biasa berpuasa sunat.
Memeriahkan Malam
Nisfu Sya’ban
Meriahkan masjid dgn
ibadah berjemaah atau meriahkan nisfu Sya’ban dirumah sendiri tidak ada
dalilnya dan yang melakukan ini adalah dari generasi ketiga iaitu Tabi’in di
Negeri Syam (sekarang Syria, Lubnan, Palestin dan Jordan). Diantaranya ialah
Khalid bin Ma’dan, Luqman bin ‘Amir, Ishaq bin Rahawait (ahli hadis).
Bagaimana cara mereka
meriahkan malam nisfu Sya’ban?
Mereka memakai pakaian
yg terbaik. Jubah yg bagus. Pakai buhur (asap wangi-wangian). Pakai celak.
Ramai-ramai pergi masjid. Tetapi Tabi’in di Hijaz, tak buat kerana tidak ada
dalil. Hanya tabi’in di Negeri Syam sahaja.
Boleh ke kita ikut
salah satu? Kata Shiekh ‘Athiyah Saqr (Mantan Mufti Lajnah Fatwa Al-Azhar) , “Selama
masalah itu khilafiah (tidak sependapat), kita amalkan sesuai dgn yang kita
yakin. Kalau ada yg melakukan lain dr kita, jgn pula memperkecilkan/mengejek
mereka. Selebihnya mohon ampun kpd Allah”.
Selain solat sunat 100
rakaat dengan membaca surah al-Ikhlas sebanyak 1000 kali (dikenal dengan solat
Alfiyah), terdapat juga beberapa perkara bid’ah lainnya termasuklah
mengkhususkan puasa pada siang hari nisfu Sya’ban, membaca doa atau surah
Yaasin khusus pada sebelah malamnya. Kemudian ada pula amalan yang pelik-pelik
kita dengar. Antaranya, menziarahi kubur pada malam nisfu Sya’ban, menghidupkan
api dan lilin disekelilingnya, mengkhususkan sedekah/membuat makanan dan diberi
kepada faqir miskin dengan menganggap pahala sedekah itu sampai kepada ibu bapa
yang telah meninggal dunia dan banyak lagi.
Kesimpulan
Tujuan kita beramal
pada bulan mulia ini adalah untuk mengisi usia yg baik, disampaikan oleh Allah
di bulan yg baik, dgn amal yg terbaik supaya apabila kita menghadap Allah nanti
bersama org-org yg baik dan ditempatkan oleh Allah dgn tempat yg terbaik iaitu
Syurga. Ameen...
Bulan yg
bercabang-cabang kebaikan/keberkatan telah datang kpd kita, tapi ibadah kita
tetap sama tak bercabang, tak bertambah seperti bercabangnya keberkatan pada
bulan Sya’ban. Tak sesuai keberkatan yg Allah anugerahkan dgn amalan orang yg
memasuki bulan tersebut. Berapa byk Allah panjangkan usia kita untuk kita
sampai pada bulan yg mulia ini tetapi kita tidak ambil peluang itu, kita
sia-siakan sehingga kita tidak sempat beramal dgn amalan yg terbaik.
Nabi s.a.w berdoa:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبَ وَشَعْبَانَ
وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ
“Ya
Allah, berkatilah untuk kami bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke
bulan Ramadhan”
Sebab itu Nabi s.a.w
mempersiapkan diri dengan banyak beramal di bulan Sya’ban untuk smpai ke bulan
Ramadhan. Mula dari bulan Rejab, kemudian Sya’ban, seterusnya bulan Ramadhan.
Kita sama-samalah perbanyakkan solat malam, berzikir, puasa sunat, bersedekah,
infaq, menyantuni faqir miskin dan anak-anak yatim. InsyaAllah akan menjadi
amalan yg baik di sisi Allah sehingga terinspirasi oleh orang lain utk turut
sama beramal. Mudah-mudahan kita pun dpt bahagian pahala dari amal tersebut dan
apa yg disampaikan itu dapat menjadi bekal kita di akhirat nanti. InsyaAllah,
amin ya Rabbal ‘Alamin. Wallahu a’lam...