ISNIN, 7 Mei
2012 - Universiti Islam
Negeri Sultan Syarif Kasim Riau (UIN Suska) secara rasmi memberi anugerah
Doctor Honoris Causa (HC) kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Haji Mohd Ali
Bin Mohd Rustam, di Auditorium Islamic Centre UIN Suska, Jl. HR Soebrantas, No.
155 Pekanbaru, Riau, Indonesia. Penganugerahan Doktor
Kehormat dalam bidang Politik Islam tersebut dirasmikan oleh Rektor UIN
Suska, Prof. Dr. H.M. Nazir.
Nazir berharap, dengan penganugerahan Doctor HC kepada Ketua Menteri Melaka,
akan menambah dan mengukuhkan pembinaan umat khususnya dalam ruang lingkup
Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI). Selain itu, UIN Suska merupakan pusat
pengajian tinggi yang salah satu core pendidikannya pada kajian Tamaddun
Melayu dan Islam sebagai langkah menuju World Class University.
"UIN Suska secara akademik sudah lama mengamati Yang Amat Berhormat
Datuk Seri Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam, karya-karya yang diterbitkan mahupun
pemikiran-pemikirannya. Dan ketika dibawa ke sidang senat universiti, semua
setuju dan kami akan membentuk pasukan teknikal untuk mewujudkannya. Kami juga
mendapat motivasi dari Gabenor Riau yang memberikan cadangan bahawa beliau
layak untuk mendapat gelaran Doktor Kehormat ", kata Nazir.
Sementara itu, Datuk Seri Haji Mohd Ali dalam pidato ilmiah usai penganugerahan
memaparkan, undang-undang (Islam) harus menjadi landasan kerajaan dalam membina
hubungan dengan rakyat. "Inilah yang menjadi teras dalam pelaksanaan
siyasah syariah (politik islam) yang menjadi tonggak dalam pembinaan negara
yang dituntut oleh Islam", kata Presiden DMDI itu.
Penekanan siyasah syariah yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah, kata
Mohd Ali, sangat signifikan dan diperlukan dalam mewujudkan negara yang
sentosa, makmur dan dirahmati Allah. "Islam adalah agama yang syumul,
lengkap dan menyeluruh. Menerusinya terkandung hukum-hakam yang berkaitan
dengan ekonomi, sosial dan politik dan segala cabang keperluan hidup",
tegasnya.
Datuk Seri Haji Mohd Ali juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada UIN Suska
Riau atas anugerah tersebut. "Dengan penganugerahan ini, akan
memotivasi saya untuk membangunkan kesinambungan martabat Melayu di peringkat
sejagat yang lebih mencabar lagi", katanya.
Simbol Hubungan Bilateral
Penganugerahan Doctor HC kepada Ketua Menteri Melaka tersebut, menurut Gabenor
Riau, H.M. Rusli Zainal, tidak hanya menjadi simbol akademik tapi juga simbol
persaudaraan dua negara Indonesia-Malaysia. "Dimana dalam praktiknya
momentum tersebut sedang dilakukan UIN Suska (Riau) dengan Melaka",
katanya.
Rusli menambah, Datuk Seri Haji Mohd Ali merupakan tokoh yang sangat berjasa
dalam tumbuh kembangnya Politik Islam di rantau Asia Tenggara, sehingga layak
untuk mendapat gelaran Doktor Kehormat. "Pemberian gelaran ini merupakan
sebuah pengakuan akademik yang dilandasi kajian mendalam", kata Rusli
yang mendapat gelaran serupa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada
2010 lalu.
Kajian mendalam terhadap gelar Doktor Kehormat tersebut juga diakui oleh
pasukan promoter yang terdiri dari Prof. Dr. Munzir Hitami MA, Prof. Dr. H.
Sudirman M. Johan MA dan Prof. Dr. H. Alaidin Koto MA. "Perhatian dan
pemikiran beliau dalam bidang pendidikan, politik dan DMDI patut untuk mendapat
kehormatan", kata Alaidin Koto mewakili pasukan promoter.
Menurut Alaidin, dengan berkembangnya DMDI di masa kepemimpinannya, umat Melayu
merasa kembali mencari kebesaran martabat kemelayuannya sebagai sebahagian
daripada peradaban dunia. "Inilah di antara jasa besar yang dimainkan
oleh Datuk Seri Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam bersama tokoh-tokoh umat Melayu
lain di rantau ini", ujarnya.
Selain itu, Datuk Seri Haji Mohd Ali selama ini mempunyai peranan besar dalam
menjalin hubungan kerjasama yang baik antara Melaka dan Riau. "Berdasarkan
pertimbangan itu, maka UIN Suska Riau membuat kesimpulan bahawa beliau sangat
patut dianugerahkan gelaran Doktor Kehormat Honoris Causa di bidang Politik
Islam", ulasnya lagi.
Selain Gabenor Riau, acara tersebut juga dihadiri Ketua DPRD Riau Djohar
Firdaus, Timbalan Gabenor Riau HR Mambang Mit, Walikota Pekanbaru Firdaus MT,
bekas Gabenor Riau Saleh Djasit, Konsul Malaysia di Pekanbaru Zamani Bin
Ismail, Tokoh Masyarakat Riau, Bapak Tenas Efendy, dan lain-lain. Sementara
dari UIN Suska sendiri hadir kalangan pegawai di peringkat universiti dan
fakulti, pensyarah, kakitangan dan ratusan mahasiswa.