Sila klik link di bawah ini. Terima kasih :)

Dengarkanlah...

Friday, June 8, 2012 2 comments

Tafsir Surah Al-Baqarah, Ayat 153


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاَةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Firman Allah s.w.t: “Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar” [Surah Al-Baqarah, ayat 153]

Assalamua’alaikum wrt. wbt. Syukur kepada Allah Ta’ala kerana masih memberi kesempatan kepada kita untuk hidup dalam keimanan dan Islam dengan mengucapkan “Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin”. Tidak lupa pula kita berselawat kepada baginda Rasulullah s.a.w dengan mengucapkan “Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa ‘Ala Aali Sayyidina Muhammad”. Mudah-mudahan dengan berselawat kepada baginda, akan diberi syafaat olehnya di akhirat nanti. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Pada kali ini, kita akan sama-sama mengkaji tafsir dari ayat 153, Surah al-Baqarah. Ayat ini mempunyai hubungan dengan ayat-ayat sebelumnya, iaitu Allah menjelaskan tentang musuh Islam yang dengki atau melakukan kejahatan terhadap ummat Islam kerana mengikuti kebenaran iaitu mengikuti petunjuk Nabi Muhammad s.a.w. Orang-orang Islam tidak termakan dengan isu orang Yahudi dengan meragukan ummat dalam isu peralihan kiblat. Berbagai cara yang mereka lakukan agar ummat Islam tidak mengikuti kebenaran itu. Ini adalah sesuatu yang berat bagi ummat Islam yang perlu menghadapi kedengkian musuh terhadap mereka. Maka Allah turunkan ayat di atas supaya memohon pertolongan kepada Allah dan Allah mengajarkan pula cara memohon pertolongan itu adalah dengan cara bersabar dan solat. Kerana apabila Allah sudah bersama dengan orang yang sabar, maka tidak ada lagi maknanya kedengkian musuh tersebut. Sehebat manapun musuh itu, mereka tidak akan berhasil menggoyahkan keimanan ummat Islam. Sebab Allah memelihara orang yang sabar dari kejahatan musuh.

Akan tetapi, adakalanya sabar kita itu menjadi lemah kerana menghadapi penderitaan yang panjang. Maka, untuk memulihkan kesabaran kita itu, Allah gandingkan dengan solat. Kerana dengan solat, kesabaran kita kembali kuat. Kembali pulih seperti sebelumnya. Maka, mudah pula bagi kita menghadapi penderitaan menghadapi musuh.

Perlu difahami konteks ayat ini bukanlah hanya untuk perkara itu sahaja. Malah ayat ini juga boleh dijadikan sandaran dalam perkara-perkara lain. Mungkin kita menghadapi penderitaan dengan pelbagai ujian seperti sakit, kelaparan, kemiskinan, dengki orang, kematian seperti yang disebutkan pada ayat selanjutnya iaitu ayat 155.


وَلَـنَبۡلُوَنَّكُمۡ بِشَىۡءٍ مِّنَ الۡخَـوۡفِ وَالۡجُـوۡعِ وَنَقۡصٍ مِّنَ الۡاَمۡوَالِ وَالۡاَنۡفُسِ وَالثَّمَرٰتِؕ وَبَشِّرِ الصّٰبِرِيۡنَۙ
"Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar".

Boleh jadi, berat untuk kita melakukan ketaatan sekalipun kita mampu menghadapinya dan yang lebih berat lagi apakah kita mampu bertahan dalam melakukan ketaatan di saat kita menderita? Inilah yang dinamakan sabar. Sabar terhadap penderitaan dari musuh dan penderitaan terhadap ujian-ujian dalam kehidupan kita.

“Wahai orang-orang yang beriman”. Banyak ayat ini di dalam al-Qur’an. Di sini kita dapat ketahui bahawa Allah ingin menjelaskan suatu kewajipan setelahnya dengan keimanan yang ada pada hamba-Nya iaitu memohon pertolongan kepada Allah. Maka ini menjadi satu kewajipan bagi orang-orang yang beriman supaya meminta tolong hanya kepada Allah. Kenapa? Sebab orang beriman, mereka tahu bahawa mereka adalah hamba yang lemah, memiliki kekurangan dan keterbatasan, tidak ada daya upaya kerana semuanya adalah dari sisi Allah dan apabila Allah menguji dengan penderitaan dan musibah, maka wajib bagi orang yang berimam memohon pertolongan dari Allah kerana untuk menampakkan penghambaan diri kepada Allah. Jika tidak mahu meminta tolong kepada Allah, maka nampaklah keangkuhan dan kesombongan seperti mereka itu mampu untuk menyelesaikan penderitaan atau musibah itu sendiri. Siapalah kita nak dibandingkan dengan kekuasaan Allah? Sesungguhnya manusia adalah makhluk yang lemah dan tidak memiliki kekuasan.

Meminta tolong kepada Allah adalah ibadah dan itu adalah perbuatan yang mulia. Meminta tolong kepada Allah adalah untuk membuktikan kita ini hamba yang memiliki keterbatasan kelemahan, tiada kuasa. Maka nampaklah kerendahan kita dihadapan Allah Yang Maha Tinggi. Maka nampaklah hina kita dihadapan Allah Yang Maha Mulia. Meskipun kita kaya, walaupun kita kuat, mintalah pada Allah dengan kerendahan hati sebagai hamba yang miskin, hamba yang lemah untuk menampakkan kehambaan kita kepada Allah.

Biasanya kita minta tolong ni waktu bila? bila kita rasa lemah, tak mampu nak hadapi sesuatu kesukaran...sahabat kita pun tak mampu tolong, doktor pun tak mampu dah nak tolong, akhirnya kita minta tolong juga kepada Allah swt.

Kita nak tidur, adakah pejam mata rapat-rapat terus tidur? Tidak. Siapa yang menidurkan kita? Allah s.w.t. Walaupun mata itu ada di kepala kita pun, kita tak dapat tidur jika Allah tidak tidurkan kita. Kadang-kadang, ada orang tak boleh tidur sampai pagi.

Kita nak bawak barang 50kg. Tapi kekuatan kita nak angkat barang hanya 40kg. Jadi kita pun minta tolong kepada kawan kita.  kerana sebagai manusia kita ada keterbatasan. Begitu juga dalam hidup ni ada keterbatasan supaya kita meminta pertolongan dr Allah. Tapi tak mungkin kita akan minta tolong dengan Allah melainkan kita mengenal Allah yang memberikan pertolongan. Dan boleh jadi kita tersalah meminta tolong. Kita minta tolong kepada yang tak dapat menolong kita. 

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ  
“Hanya kepada Engkaulah (Allah) yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan”. [Surah al-Fatihah, ayat 5]

SABAR

Sabar maknanya menahan yakni menahan dari hawa nafsu. Jika sakit, maka keinginan nafsu nak kepada sihat. Dah bertahun-tahun makan ubat, tapi tak sihat-sihat juga. Lalu, bagaimana cara menghadapi sakit supaya dapat menjalaninya sakit dengan baik? Tahanlah hawa nafsu itu dari nak sihat. Tapi walaupun keinginan nafsu itu nak sihat, apakah kita akan sihat apabila memperturutkan hawa nafsu? Yang menentukan kita sihat adalah Allah, jika kita disembuhkan, maka kita pun sihat.

Kadang-kadang kita berdoa “Ya Allah! Dah 3 bulan dah Allah. Hamba dah lama sakit ni Ya Allah, berapa lama lagi Ya Allah penyakit hamba ni”.

Cuba menahan hawa nafsu itu. Seperti kita kata, “Ya Allah! Yang menetapkan penyakit ini. Aku yakin pasti ada hikmah disebaliknya. Hamba beriman dan yakin kepadaMu. Aku akan jalani penyakit ini, seberapa lama yang Engkau tetapkan akan aku hadapinya dengan pasrah dan redha bahkan aku menikmati penyakit ini kerana Engkau Yang Bijaksana pasti ada hikmah disebaliknya”. Dengan kasih sayang Allah, Allah akan sembuhkan.

Ada orang dengki dengan kita atau ada orang melakukan kejahatan kepada kita. Pada waktu itu, nafsu kita ingin membalasnya. Tapi kita bersabar. Ini adalah ujian, pasti ada hikmahnya. Ingin menguatkan iman kita. Supaya lebih mudah menghadapi ujian hidup akan datang. Nabi pun dimusuhi, apatah lagi kita. Sabar ini ada dalam 2 perkara, iaitu dalam perkara yang kita tak suka dan perkara yang kita suka. Firman Allah:

وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً
“Kami uji kamu dengan perkara yang buruk (yang kamu tak suka) dan perkara yang baik (yang kamu suka) sebagai ujian”. [Surah al-Anbiya, ayat 35]

Jika minta tolong kepada Allah, mintalah dengan bersabar. Allah akan menolong kita sama ada dalam perkara yang buruk dan perkara yang baik. Perkara yang buruk, yang kita tak suka, banyak. Sakit, lapar, miskin, dan sebagainya. Perkara yang baik sebagai contoh menuntut ilmu kerana memerlukan masa yang lama, banyak kena habis duit. Maka, kita bersabar. Allah akan tolong sehingga tanpa kita sedar pada hari ini kita dapat lulus dalam UPSR, PMR, SPM, dapat masuk universiti dan berjaya sehingga tamat pengajian.

Sekarang, bagaimana untuk menjadikan sabar itu sentiasa ada dalam diri kita? Dengan menunaikan solat. Kata nabi,
إذا حزبه أمر فزع إلى الصلاة
“Bila aku susah aku sabar dan bila terasa sangat susah, maka aku solat”. Kerana solat akan menguatkan kesabaran kita. Kerana solat menghubungkan kita dengan Allah. Kita yang lemah berhubung dengan Yang Maha Berkuasa, maka Allah akan menutupi kelemahan kita. Kita pun menjadi sabar kembali. Kita pun tenang. Jika tak tenang juga, pasti ada yang tak kena dengan solatnya, dengan kata lain, solatnya kurang sempurna.

SOLAT

ٍSolat menghubungkan seorang hamba yang beriman dengan Allah...

Di dalam solat, ada 3 perkara penting iaitu kita takbir, tahmid dan tasbih. MembesarkanNya,  Allah nampakkan kekuasaanNya. MemujiNya, Allah menampakkan Dzat Allah Yang Terpuji dan MensucikanNya, Allah nampakkan bahawa Dia jauh dari sifat kekurangan. Kita yakin dengan Allah. Kita bersangka baik kepada Allah. Maka Allah akan tolong kita dan akan bersama dengan kita.

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ - رضى الله عنه - قَالَ قَالَ النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم - ) يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِى بِى ، وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِى ، فَإِنْ ذَكَرَنِى فِى نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِى نَفْسِى ، وَإِنْ ذَكَرَنِى فِى مَلأٍ ذَكَرْتُهُ فِى مَلأٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ ، وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَىَّ بِشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا ، وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَىَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا ، وَإِنْ أَتَانِى يَمْشِى أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً )
Maksudnya:
“Dari Abu Hurairah, dia berkata: Rasulullah Saw bersabda: Allah berfirman:
“Aku menurut sangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam dirinya, maka Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam satu kumpulan, Aku mengingatinya dalam kumpulan yang lebih baik dari kumpulan mereka. Jika dia mendekati kepada-Ku satu jengkal, maka Aku mendekati kepadanya satu hasta. Jika dia mendekati kepada-Ku satu hasta, maka Aku mendekati kepadanya satu lengan. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku datang kepadanya dengan berlari”. [Sahih Bukhari]

Kisah Nabi Yunus Ditelan Ikan

وَذَا النّونِ إِذ ذَّهَبَ مُغٰضِبًا فَظَنَّ أَن لَّن نَّقدِرَ عَلَيهِ فَنادىٰ فِي الظُّلُمٰتِ أَن لّا إِلٰهَ إِلّا أَنتَ سُبحٰنَكَ إِنّي كُنتُ مِنَ الظّٰلِمينَ

Kata Allah, “Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun (Nabi Yunus), ketika dia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan dia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau ujian (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku; yakni ditelan ikan) maka dia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita (dalam perut ikan) dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (Ya Allah)! Maha suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri. Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan Dia dari kesusahan yang menyelubunginya dan demikianlah Kami selamatkan pula orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami). [Surah al-Anbiya’, ayat 87-88]

فَلَوْلَآ أَنَّهُۥ كَانَ مِنَ ٱلْمُسَبِّحِينَ لَلَبِثَ فِى بَطْنِهِۦٓ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ

Firman Allah lagi, “Maka kalaulah dia (Yunus) bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih), tentulah dia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari berbangkit”. [Surah as-Soffat, ayat 143-144]

Nabi Yunus diselamatkan Allah dengan bertasbih kepadaNya. Inilah yang dinilai dalam solat. Dalam Surah Muzammil, kerana beban yang dihadapi oleh Rasulullah ketika ummat Islam ditindas, Allah mengingatkan Nabi “Wahai orang yang berselimut! (Muhammad), bangunlah (untuk solat) pada malam hari, separuh malam, atau kurang sedikit dari itu, atau lebih dari itu”.

Kelebihan Orang Yang Sabar

Di dalam al-Qur’an, banyak disebutkan kelebihan dan keistimewaan orang-orang yang bersabar. Salah satunya adalah orang-orang yang sabar akan masuk syurga tanpa dihisab. Firman Allah:

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

“Sesungguhnya Allah menyempurnakan balasan orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan dengan balasan mereka dengan tanpa dihisab”. [Surah az-Zumar, ayat 10]

Dalam riwayat tafsir mengatakan, suatu ketika malaikat terkejut apabila nampak sekumpulan manusia dan berkata “Hei kamu! kemana kamu nak pergi?” Mereka menjawab, “Kami nak masuk syurga”. Kata malaikat, “Tapi kamu belum dihisab”. Mereka berkata, “Ya, tapi kami sudah diperkenankan untuk masuk ke dalam syurga”. Malaikat bertanya lagi, “Apa yang menyebabkan kamu terus masuk ke syurga tanpa di hisab?” Mereka menjawab, “Kami adalah orang-orang yang sabar dahulu ketika di dunia”.

Suruh orang sabar tu mudah, tapi kena pada kita sendiri tak sabar... Suruh anak sembahyang.
وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا
Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا

Wallahua’lam…

p/s: Tafsir ini saya ringkaskan dalam bentuk tulisan dari kuliah tafsir yang disampaikan oleh Kiyai Haji Dr. Musthafa Umar, Lc.MA. (Ulama' Tafsir Riau)
Friday, June 1, 2012 3 comments

Hadis Tentang Doa Qunut Subuh

Dari kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab karya Imam Nawawi, juz: 3, halaman: 505.
Diterjemahkan oleh: Ustaz Haji Abdul Somad, Lc., MA. Pensyarah Fakulti Usuluddin Universitas Islam Negeri Sultan Syarif  Kasim, Riau.

واحتج اصحابنا بحديث انس رضى الله عنه: أن النبي صلي الله تعالي عليه وسلم قنت شهرا يدعوا عليهم ثم ترك فأما في الصبح فلم يزل يقنت حتى فارق الدنيا. حديث صحيح رواه جماعة من الحفاظ وصححوه وممن نص علي صحته الحافظ أبو عبد الله محمد بن علي البلخى والحاكم أبو عبد الله في مواضع من كتبه والبيهقي ورواه الدار قطني من طرق بأسانيد صحيحة.
Para ulama mazhab Syafi’i berdalil dengan hadis Anas, bahawa Rasulullah s.a.w membaca Qunut selama satu bulan mendoakan orang-orang musyrik (yang membunuh sahabat Rasulullah s.a.w supaya dibalas Allah s.w.t). Kemudian, Rasulullah s.a.w berhenti (melakukannya). Sedangkan pada solat Subuh, beliau tetap membaca Qunut hingga beliau wafat.
Ini adalah hadis sahih, diriwayatkan oleh sekelompok ulama hadis dari kalangan para al-Hafiz, mereka nyatakan sebagai hadis sahih. Diantara ulama yang menyatakan bahawa hadis ini sahih adalah al-Hafiz Abu Abdillah Muhammad bin Ali al-Balkhi, Imam al-Hakim Abu Abdillah di beberapa tempat dalam kitabnya dan Imam al-Baihaqi. Disebutkan oleh Imam ad-Daraquthni melalui beberapa jalur periwayatan dengan sanad-sanad yang sahih.

وعن العوام بن حمزة قال: سألت أبا عثمان عن القنوت في الصبح قال: بعد الركوع قلت: عمن؟ قال: عن أبى بكر وعمر وعثمان رضي الله تعالي عنهم. رواه البيهقي وقال هذا إسناد حسن.
Dari al-‘Awwam bin Hamzah, dia berkata: “Saya bertanya kepada Abu Utsman tentang doa Qunut pada solat Subuh”. Dia menjawab, “Dibaca setelah ruku’”. Saya bertanya kepadanya, “Dari siapa?”. Dia menjawab, “Dari Abu Bakar, Umar dan Utsman”. Diriwayatkan oleh al-Baihaqi, beliau berkata, “Sanadnya hasan”.

ورواه البيهقى عن عمر أيضا من طرق وعن عبد الله بن معقل - بفتح الميم وإسكان العين المهملة وكسر القاف - التابعي قال " قنت علي رضى الله عنه في الفجر " رواه البيهقى وقال هذا عن علي صحيح مشهور.
Al-Baihaqi meriwayatkan dari Umar, dari beberapa jalur periwayatan, dari Abdullah bin Ma’qil seorang tabi’in, ia berkata, “Imam Ali bin Abi Thalib membaca doa Qunut pada solat Subuh”. Diriwayatkan oleh al-Baihaqi, beliau berkata, “Ini dari Imam Ali, shahih masyhur”.

وعن البراء رضى الله تعالى عنه: أن رسول الله صلي الله عليه وسلم كان يقنت في الصبح والمغرب. رواه مسلم ورواه أبو داود وليس في روايته ذكر المغرب ولا يضر ترك الناس القنوت في صلاة المغرب لانه ليس بواجب أو دل الاجماع على نسخه فيها.
Dari al-Barra’: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w membaca doa Qunut pada solat Subuh dan solat Maghrib. Diriwayatkan oleh Imam Muslim. Juga diriwayatkan oleh Imam Abu Daud tanpa menyebutkan solat Maghrib. Doa Qunut tidak dibaca lagi dalam shalat Maghrib kerana doa Qunut dalam solat Maghrib tersebut tidak wajib dan menurut Ijma’ ulama hukum membaca doa Qunut dalam solat Maghrib telah dinasakh (mansukh).

وأما الحواب عن حديث أنس وأبى هريرة رضي الله عنهما في قوله ثم تركه فالمراد ترك الدعاء على أولئك الكفار ولعنتهم فقط، لا ترك جميع القنوت أو ترك القنوت في غير الصبح وهذا التأويل متعين لان حديث أنس في قوله: لم يزل يقنت في الصبح حتى فارق الدنيا. صحيح صريح فيجب الجمع بينهما وهذا الذى ذكرناه متعين للجمع وقد روى البيهقي باسناده عن عبد الرحمن بن مهدي الامام انه قال: انما ترك اللعن ويوضح هذا التأويل رواية أبي هريرة السابقة وهي قوله: ثم ترك الدعاء لهم.
(Beberapa Jawapan Imam Nawawi Terhadap Riwayat-Riwayat Yang Menyebutkan Bahawa Rasulullah s.a.w Tidak Membaca Doa Qunut Pada Solat Subuh).
Adapun jawapan terhadap hadits Anas dan Abu Hurairah, tentang makna kalimat:
ثم تركه
“Kemudian Rasulullah s.a.w meninggalkannya”. Maksudnya adalah Rasulullah s.a.w tidak lagi membacakan doa dan laknat terhadap orang-orang kafir. Bukan bererti meninggalkan doa Qunut secara keseluruhan. Atau makna lain: Rasulullah s.a.w meninggalkan doa Qunut dalam solat lain selain solat Subuh. Demikian takwil yang sesuai, kerana hadis Anas menyebutkan: Rasulullah s.a.w terus membaca doa Qunut sehingga baginda wafat. Sahih dan jelas, maka kedua hadis ini mesti digabungkan. Makna yang telah disebutkan merupakan gabungan antara kedua hadis tersebut. Imam al-Baihaqi telah meriwayatkan dengan sanadnya dari Imam Abdurrahman bin Mahdi bahawa dia berkata, “Rasulullah s.a.w hanya meninggalkan laknat (terhadap orang-orang kafir)”. Penakwilan ini dijelaskan oleh riwayat Abu Hurairah diatas yang menyatakan:
ثم ترك الدعاء لهم
“Kemudian Rasulullah s.a.w meninggalkan doa terhadap mereka”.

والجواب عن حديث سعد بن طارق أن رواية الذين اثبتوا القنوت معهم زيادة علم وهم أكثر فوجب تقديمهم.
Jawapan terhadap hadis Sa’ad bin Thariq bahawa riwayat yang menetapkan adanya Qunut (Subuh) merupakan pengetahuan tambahan. Riwayat yang menetapkan adanya Qunut (Subuh) lebih banyak, maka wajib untuk didahulukan.

وعن حديث ابن مسعود أنه ضعيف جدا لانه من رواية محمد بن جابر السحمى وهو شديد الضعف متروك. ولانه نفي وحديث أنس إثبات فقدم لزيادة العلم
Jawaban terhadap hadis Ibnu Mas’ud, hadis tersebut adalah hadits Dha’if Jiddan, kerana diriwayatkan oleh Muhammad bin Jabir as-Sahmi, statusnya sangat dha’if matruk. Kerana hadisnya menafikan Qunut (Subuh) sedangkan hadis Anas menetapkan adanya Qunut (Subuh), maka hadis yang menetapkan adanya Qunut (Subuh) lebih didahulukan kerana adanya pengetahuan tambahan.

وحديث ابن عمر أنه لم يحفظه أو نسيه وقد حفظه أنس والبراء بن عازب وغيرهما فقدم من حفظ
Jawapan terhadap hadis Ibnu Umar, dia tidak mengingatnya, atau dia lupa. Akan tetapi Anas, al-Barra’ bin ‘Azib dan yang lain mengingatnya. Maka riwayat yang mengingat lebih didahulukan.

وعن حديث ابن عباس أنه ضعيف جدا وقد رواه البيهقى من رواية أبى ليلي الكوفى وقال هذا لا يصح وابو ليلى متروك وقد روينا عن ابن عباس: انه قنت في الصبح.
Jawapan terhadap hadis Ibnu Abbas, hadis tersebut adalah hadis dha’if jiddan (sangat lemah). Disebutkan oleh al-Baihaqi dari riwayat Abu Laila al-Kufi, dia berkata, “Tidak sahih. Status Abu Laila adalah Matruk. Telah kami riwayatkan dari Ibnu Abbas bahawa dia membaca Qunut pada solat Shubuh.

وعن حديث أم سلمة انه ضعيف لانه من رواية محمد بن يعلي عن عنبسة بن عبد الرحمن عن عبد الله بن نافع عن ابيه عن ام سلمة قال الدار قطني هؤلاء الثلاثة ضعفاء ولا يصح لنافع سماع من ام سلمة والله اعلم.
Jawapan terhadap hadis Ummu Salamah, hadis tersebut adalah hadis dha’if, kerana diriwayatkan oleh Muhammad bin Ya’la dari ‘Anbasah bin Abdirrahman, dari Abdillah bin Nafi’, dari Bapanya, dari Ummu Salamah. Ad-Daraquthni berkata, “Ketiga perawi ini dha’if. Tidak benar bahawa Nafi’ mendengar hadits tersebut dari Ummu Salamah”. Wallahu a’lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
;