Tsunami Mentawai
Masihkah anda ingat tragedi tsunami pada 25 Disember 2004? Walaupun sudah beberapa tahun berlalu tapi peristiwa tu masih meninggalkan kesan di jiwa kerana bencana tsunami tersebut adalah yang paling buruk berlaku zaman ini. Ketika itu, Acheh, Indonesia adalah bahagian yang paling teruk menerima kesannya. Tahun 2010 ini sekali lagi sejarah terpahat di negara jiran ini apabila sekali lagi tsunami melanda di Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat.
Sumber menyatakan sekurang-kurangnya 154 terbunuh manakala 400 yang lain masih hilang susulan gempa bumi kuat bermagnitud sekitar 7.7 yang melanda di Kepulauan Mentawai, pada Isnin yang lalu, membentuk ombak setinggi 3 meter memusnahkan 10 perkampungan di kawasan itu.
Gunung Merapi Meletus
Gunung Merapi adalah gunung berapi berusia lebih 400,000 tahun yang paling aktif di Indonesia, mulai meletus malam Selasa setelah beberapa hari menunjukkan tanda-tanda berlakunya letusan besar. Keadaan itu menyebabkan ribuan penduduk yang tinggal di lereng-lereng gunung melarikan diri ketika debu dan udara panas keluar dari gunung berkenaan.
Rakyat Malaysia yang juga merupakan pelajar yang tinggal berhampiran kawasan berkenaan sempat berpindah sebelum berlaku letusan. Malangnya beberapa penduduk kampung yang tetap berkeras untuk bertahan sebab ingin menjaga haiwan ternakan dan tanaman telah menjadi korban Gunung Merapi. Jika mengikut statistik berita Harian (27 Oktober), seramai 25 orang telah terbunuh termasuk seorang warga emas yang dikenali sebagai Mbah Marijan (datuk Marijan), 83 tahun yang berkeras enggan meninggalkan rumahnya di kaki gunung itu di Cangkringan daerah Sleman.
Mbah Marijan adalah penjaga tradisi atau juru kunci gunung itu. Bagaimanapun pihak berkuasa tempatan termasuk doktor percaya yang satu jenazah melecur yang ditemui dalam keadaan bersujud ke arah kiblat adalah Mbah Maridjan. Beliau ditemui mati di dalam bilik tidur di sebuah rumah terbakar, kira-kira 4 kilometer dari puncak gunung.
Semoga rakyat Indonesia dan warga negara lain yang terbabit dalam kedua-dua bencana ini dapat bersabar di atas segala ujian dari-Nya dan dapat mengambil pengajaran serta juga hikmah dari kedua-dua bencana ini.